Senarai Nama 8 Remaja lemas di Sungai Buloh Kasap, Segamat Johor .Al fatihah buat anak didik dan rakan - rakan kepada anda semua.
AL FATIHAH buat...
- MOHD ZAKI ZAIDI, 16
- MOHD ZAKRI ZAIDI, 14
- MOHD SYAFIQ MD SYUKUR,16
- MOHD HAFIZUL DANIAL NOR HASYIM, 16
- NAZRUL AMIRUDDIN ZAMRI, 14
- MOHD NAZRUL BIN ZAINAL, 15
- MOHD IZUAN HAKIMI AMIR, 13
- MOHD HAFIZUDIN KAMAL, 16
SEGAMAT – Detik hitam yang meragut nyawa lapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap apabila lemas di Sungai Buloh Kasap pada 21 Februari lalu meninggalkan kesan mendalam kepada setiap keluarga mangsa.
Lebih tragis, kesemua mangsa tinggal berjiran di Taman Mewah, Buloh Kasap, di sini, malah bersahabat baik sejak kecil dan sentiasa bersama melakukan apa jua aktiviti sehingga ke akhir hayat mereka.
Kedatangan Syawal yang sepatutnya menjadi hari bermakna buat semua umat Islam setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan seolah-olah sepi dan suram buat keluarga mangsa bagai menangisi kehilangan mereka.
Hilang dua anak lelaki serentak
Rasa kehilangan itu dirasai keluarga Kamisah Bakar, 45, apabila dua anak lelakinya ,Mohd Zikri, 14, dan Mohd Zaki Zaidi, 16, lemas dalam kejadian berkenaan.
Kamisah berkata, apabila teringat kejadian yang menimpa anak ketiga dan keempat dari enam adik beradik itu, secara tiba-tiba hatinya menjadi sayu serta hiba sehingga tidak mampu menyekat air matanya membasahi pipi.
“Walaupun peristiwa hitam tersebut sudah enam bulan berlalu, saya rasakan ia seperti baharu sahaja berlaku dan sehingga kini wajah mereka berdua sentiasa terbayang-bayang di fikiran saya.
“Saya beristighfar dan membacakan surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada roh mereka dan pada masa sama saya memohon kepada ALLAH agar terus tabahkan hati saya ini,” katanya.
Mengimbau kembali kejadian itu, Kamisah tidak menyangka aktiviti mingguan 12 sekawan termasuk dua anaknya untuk pergi berjoging akhirnya mengundang tragedi apabila lapan daripada mereka ditemui lemas.
Katanya, dia dan suaminya, Zaidi Ujang, 45, berada di rumah ketika kejadian sebelum digemparkan dengan berita daripada penduduk taman perumahan memberitahu terdapat lapan remaja lemas di Sungai Buloh Kasap.
“Ketika itu, saya lantas teringatkan kedua-dua anak saya itu yang keluar berjoging, namun tidak pulang-pulang ke rumah. Kebiasaannya, paling lewat mereka akan sampai ke rumah tidak melebihi jam 10.
“Suami yang kebetulan ketika itu tidak bekerja terus ke sungai tersebut yang terletak tidak jauh daripada sini dan akhirnya salah seorang rakan anak saya yang terselamat memberitahu bahawa Zikri dan Zaki merupakan salah seorang mangsa,” katanya.
Kamisah berkata, sepanjang bulan puasa, ingatan terhadap kedua-dua anak lelakinya itu menerjah kembali khusus ketika mereka sekeluarga kumpul untuk bersahur dan berbuka puasa.
Beliau berkata, menjadi aktiviti mingguannya sekeluarga melawat ke pusara dua anaknya itu untuk membacakan Yasin sebagai tanda memperingati mereka pada hari Jumaat.
“Selalunya bila menjelang hari raya, si abang (Zaki) yang lebih cerewet berbanding adiknya (Zikri) terutamanya sewaktu memilih baju raya. Jika baju yang dibelikan tidak berkenan di hati Zaki, dia tidak akan pakai baju tersebut.
“Ini berbeza berbanding Zikri yang lebih pendiam dan persamaan mereka sewaktu Syawal apabila kedua-duanya gemar memakan kuih cornflakes sehingga saya terpaksa menjadikan kuih tersebut sebagai kuih wajib kami setiap kali raya,” katanya.
Ujarnya, pada hari raya pertama tahun ini, dia akan beraya di Segamat terlebih dahulu kerana mahu melawat ke pusara anak-anaknya sebelum pulang ke kampung halaman suaminya di Keratong, Pahang.
Teringat kenangan buat kuih raya
Bagi Suhaily Saruldin, 38, ibu kepada arwah Nazrul Aminuddin Zamri atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ayoi, 15, dia teringat kenangan menyiapkan tempahan membuat kuih raya bersama kesemua lapan mangsa di rumahnya.
Menurutnya, setiap kali Ramadan, dia akan mengambil tempahan untuk membuat kuih raya dan kesemua mangsa ini akan menawarkan diri untuk menolongnya pada waktu petang selepas pulang daripada sekolah.
“Memang ketika itu rumah saya memang meriah dengan suara dan keletah mereka kerana masing-masing ada di setiap sudut rumah ini menolong saya. Kebetulan mereka memang selalu datang ke rumah saya tidak kira waktu kerana rumah kami terletak berdekatan.
“Selalunya, mereka akan menolong dari jam 4 petang sehingga malam sebelum berhenti seketika untuk bermain futsal. Tetapi, mereka akan datang kembali ke sini selepas waktu Maghrib untuk menyambung membuat kuih,” katanya.
Katanya, bagaimanapun pada tahun ini segalanya berubah sekelip mata dan dia tidak dapat melalui pengalaman tersebut kembali apabila kesemua mereka yang menolongnya membuat kuih raya lemas di Sungai Buloh Kasap.
Beliau berkata, tambah memilukannya adalah kehilangan Ayoi yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik yang diharap menjadi tonggak keluarga, namun kini anak sulungnya iaitu Nurul Emylia Zamri, 16, menjadi tempatnya menumpang kasih dan bermanja.
Suhaily berkata, pada Aidilfitri tahun lalu, kesemua mangsa membeli baju dan kemeja yang sama, tetapi berlainan warna sekali gus menunjukkan betapa akrabnya persahabatan mereka malah tidak menyangka hubungan itu kekal sehingga ke akhir hayat.
“Ayoi suka makan kuih Almond London dan dia lebih suka membuat sendiri kuih tersebut kerana dulu dia pernah bercita-cita menjadi seorang chef. Tetapi Ayoi tidak suka makan makanan pedas.
“Pada hari raya pertama, saya akan beraya di sini terlebih dahulu sebelum balik ke rumah keluarga saya di Felda Pemanis 1 dan janggal rasanya apabila Ayoi tiada bersama kami semasa hari raya,” katanya.
sumber: sinar harian
No comments:
Post a Comment